Friday, August 12, 2016

Inquiry


Disebabkan aku sejak akhir - akhir ini berfikir jauh sangat, aku alih perhatian pada salah satu hobi. Punyalah banyak buku belum habis baca, tiada sebab aku perlu buang masa dengan kerisauan. Benda paling teruk boleh berlaku tetapi yang lebih teruk daripada itu ialah rasa gementar sepanjang masa. Bukankah aku mahu gembira?

Di Pesta Buku Selangor tempoh hari, sudah janji tidak mahu beli apa - apa. Akhirnya beli juga. Mujur aku memang pegang konsep 'jangan lebih daripada tiga item' padahal ada gerai penerbit lain yang aku teringin masuk.

Aku pernah bercadang mahu baca buku tentang angkasa lepas. Dalam rak buku yang daif memang belum ada. Sedihlah rak buku cuma punya satu warna, bukan?

"Sebenarnya buku ni tentang apa?" tanya jurujual.

Aku terkedu sekejap. Patut aku yang tanya soalan.

"Macam yang ditulis situ (tunjuk ke kulit buku). Nak baca sebab curious," jawab aku, sedikit gugup, dek tidak menyangka ajuan soalan.

Aku sempat baca beberapa muka surat buku tersebut dan aku rasa sesuai dengan tahap kefahaman aku. Masalahnya di rumah, sampai ke bahagian atau perkataan tertentu yang aku kurang faham, aku jadi was - was. 

Tambah dengan, "Apa maksud jurujual tu? Adakah dia memandang aku sebagai seorang yang pelik?"

Paling penting, "Adakah aku terbeli sebuah buku teks?"

Padan muka. Siapa suruh main beli sahaja sedangkan kau boleh cari di internet senarai buku genre sama tetapi sesuai dengan tahap latar belakang pembaca?

Bahasa buku ini mudah tetapi padat. Tidak sarat dengan formula. Maka, aku kira petanda baik. Kalau fikir balik,  buku teks bukan, buku santai pun bukan. Rasanya mungkin untuk beberapa istilah astrofizik, aku perlu sesekali buka kamus. Gelabah cepat sangat.





p/s: Bolehlah kita berselang seli secara sihat.  

Friday, July 29, 2016

Unicorn


Akhirnya ada orang tampilkan kata - kata paling tepat. Tidak seperti ayat klise sekadar lepas tangan.

"You overthink."
"
Kau betul - betul yakin (tentang andaian tersebut)?"


Terima kasih sekali lagi.

Benda kecil tetapi rasa seperti orang yang gagal. Kau bukan mahukannya sangat. Walaubagaimanapun, dengar sahaja istilah 'tangga kedudukan', kau cemas. Selama ini kau memang kerja supaya diri kau kekal atas salah satu anak tangga. Hidup kau sama ada 'ya' atau 'tidak'.

Persamaan belum lengkap tetapi tidak sabar menduga jawapan. Meskipun jawapan itu sudah tetap, kau menyampah dengan sebarang proses geseran. 

Dalam proses itu juga, ada hati - hati yang kau sakiti. Ada kawan kau, dia nampak pelangi dan unikorn. Kau nampak, "Benda macam ini tidak akan penting untuk 10 tahun akan datang. Kata - kata boleh dikhianati. Mengapa harus sengaja awal - awal abadikan pengkhianatan itu?"

Jauh di sudut hati kau, kau tahu hari begini akan tiba. Apa yang kau buat 10 tahun dahulu semuanya hanya melambatkan. Konflik dalaman mesti wujud agar ada muka surat seterusnya.

Beberapa detik ke belakang,

"Alah... Kita kena taaruf lagi ni," kata kakak baik hati.
"Just don't," dalam hati aku.

Titik. Ini agak membosankan dan berlebihan. Masih belum punya idea tulisan berbaur positif. 

Selamat malam.

Wednesday, May 25, 2016

Interview


Cerita pasal temu duga itu hari, soalan medik tak susah mana. Semua asas. Soalan dari pihak SPA aku jawab seikhlas hati. Soalan berbentuk tipikal temu duga. Tiada skrip. Dalam perjalanan ke pejabat SPA di Kuala Lumpur, Mak pesan, "Yang penting kau buka mulut."

Tapi aku sedikit cuak bila banding dengan kawan lain, kenapa aku dapat soalan tak banyak? Adakah bila aku tersekat - sekat bahagian 'steps of taking blood sample', wakil KKM tu dah putus asa nak tanya apa? 

Adakah penemu duga ada impresi, "Budak ni macam hampeh je."?

Padahal bukan tak tahu. Tiba - tiba terlupa. Aku tak ulangkaji balik benda tu sebab rasa macam dah familiar. Terlebih yakin di situ. Yang entah apa - apa sekali, bukan main rajin aku baca pasal 'central line insertion'. Padahal tak pernah tengok pun prosedur tu di hospital. Terima kasih Youtube! 

Aku cuma boleh bangga yang seratus peratus soalan medik tu aku jawab berdasarkan ilmu zaman belajar dulu. Memang aku yakin apa yang aku sebut tu termaktub dalam buku. Tak ada percanggahan., fakta. Bukan goreng, okey?

Lepas tu masuk bab, "What types of needles you use?", aku dah teragak - agak. Rupa needles tu semua aku biasa tapi namanya aku tak pasti. Bodoh sangat. 

"You have to revise," kata Dr. S.

Tadaa. Nama - nama ni yang aku lupa:
- straight needle
- butterfly needle

Serius, aku secara peribadi pun tak boleh terima kenapa aku tak ingat nama - nama ni. 

Tamat giliran aku, penemu duga dari SPA keluar kejap. Lagilah aku membuat spekulasi, "Teruk sangat budak ni. Aku stres." dalam fikiran beliau.

Apa-apa pun aku bersyukur temu duga dah selesai. Tinggal tunggu keputusan.

xxxxxxxxxx

Ulang tayang temu duga Mak dulu,

"Kenapa nak jadi cikgu?"
"Sebab jadi cikgu senang, banyak cuti." jawab Mak, yang baru lepas keluar maktab ketika itu.
"Yelah, nanti waktu cuti boleh menjahit..." sambung penemu duga.




Tuesday, March 29, 2016

I Want to Shelter You

Kerawakan ku dedikasi buat yang melawan sakit.


xxxxxxxxxx


Semalam Aya melawan setan dalam dirinya lagi. Sudah seperti ketagihan, Aya berkira – kira kalau tiba masanya dia berjumpa seorang pendengar. Cuma Aya boleh puji dirinya atas jumlah serangan ketagihan yang berkurangan dalam kadar mendadak.

Kepenatan dan stres selalu jadi pemberat yang menekannya, membuatkan Aya percaya bahawa lubang hitamlah tempat sembunyi. Lubang hitam telah bersatu dengan segala yang paling dalam sampaikan susah hendak ditimbus. Aya berharap lubang hitam belum tumbuh akar. 

Akar puaka ini, kalau cuba dikikis walau sedikit, boleh menyebabkan seluruh diri Aya hilang. Aya masih ingat azab hampir kehilangan dirinya. Akan tetapi, hikmahnya, Aya mendapat ilham menyoal, 

"Bagaimana, apa dan siapa menjadikan aku?"

Buat sementara waktu, tidak dapat buang, cukuplah ubahsuai. Langkah pertama ialah memasangkan lubang hitam dengan seberapa banyak warna kesedihan supaya Aya mengelakkan lubang hitam sebagaimana kesedihan selalu dielakkan. Bertambah dalam warna kesedihan, bertambahlah berkesan.

Aya sungguh terharu dengan bayu siang tadi. Baginya, dia tidak layak untuk memperoleh nikmat sebegitu. Tidak terkira banyaknya waktu dia berasa ingin putus asa. Semalam sebelum dia kalah dengan setan itu, dia terbayang wajah – wajah insan mulia di sekelilingnya tiap hari dia bekerja.

“Kenapa tambah kesakitan rasa bersalah aku selepas ini?”

Manisnya ketika duduk dalam lubang meragut segala kemanisan usai keluar dari lubang. Apatah lagi sebelum Aya kalah semalam, wajah – wajah mulia yang muncul, seolah – olah warna kesedihan kekeringan, seterusnya memanggil warna kasih demi menyelamatkan Aya. Nah, rasa pahit yang sedap. Terima kasih kepada Yang Memberi.




p/s: Pakai topeng seperti biasa.