Disebabkan aku sejak akhir - akhir ini berfikir jauh sangat, aku alih perhatian pada salah satu hobi. Punyalah banyak buku belum habis baca, tiada sebab aku perlu buang masa dengan kerisauan. Benda paling teruk boleh berlaku tetapi yang lebih teruk daripada itu ialah rasa gementar sepanjang masa. Bukankah aku mahu gembira?
Di Pesta Buku Selangor tempoh hari, sudah janji tidak mahu beli apa - apa. Akhirnya beli juga. Mujur aku memang pegang konsep 'jangan lebih daripada tiga item' padahal ada gerai penerbit lain yang aku teringin masuk.
Aku pernah bercadang mahu baca buku tentang angkasa lepas. Dalam rak buku yang daif memang belum ada. Sedihlah rak buku cuma punya satu warna, bukan?
"Sebenarnya buku ni tentang apa?" tanya jurujual.
Aku terkedu sekejap. Patut aku yang tanya soalan.
"Macam yang ditulis situ (tunjuk ke kulit buku). Nak baca sebab curious," jawab aku, sedikit gugup, dek tidak menyangka ajuan soalan.
Aku sempat baca beberapa muka surat buku tersebut dan aku rasa sesuai dengan tahap kefahaman aku. Masalahnya di rumah, sampai ke bahagian atau perkataan tertentu yang aku kurang faham, aku jadi was - was.
Tambah dengan, "Apa maksud jurujual tu? Adakah dia memandang aku sebagai seorang yang pelik?"
Paling penting, "Adakah aku terbeli sebuah buku teks?"
Padan muka. Siapa suruh main beli sahaja sedangkan kau boleh cari di internet senarai buku genre sama tetapi sesuai dengan tahap latar belakang pembaca?
Bahasa buku ini mudah tetapi padat. Tidak sarat dengan formula. Maka, aku kira petanda baik. Kalau fikir balik, buku teks bukan, buku santai pun bukan. Rasanya mungkin untuk beberapa istilah astrofizik, aku perlu sesekali buka kamus. Gelabah cepat sangat.
p/s: Bolehlah kita berselang seli secara sihat.